PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Republik Turkiye, Dr. Hakan Fidan hari ini, dengan fokus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Türkiye.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu juga membuka ruang kerjasama strategik yang lebih meluas antara dua negara sahabat dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
“Kami menyentuh lanjut mengenai pelaksanaan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi serta wahana Mesyuarat Jawatankuasa Bersama peringkat menteri luar sebagai wadah penting dalam menelusuri isu-isu tertangguh,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam hantaran itu juga, Anwar turut memaklumkan Turkiye kini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat.
Sejajar dengan hasrat melonjakkan hubungan bersama ke tahap lebih strategik, Putrajaya-Istanbul akan terus menggalakkan pelaburan dalam sektor-sektor strategik.
“Kita ingin terus menggalakkan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan serta aeroangkasa,” ujarnya.
Dalam pertemuan sama, Malaysia turut menzahirkan penghargaan penyertaan Turkiye dalam industri pertahanan dan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025.
“Kita menjangkakan pemeteraian memorandum persefahaman kerjasama pertahanan serta memperkemas perolehan perkakas serta kelengkapan pertahanan antara kerajaan,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menyatakan hubungan Malaysia-Turkiye bukan sekadar hubungan diplomatik, malah ia mencakupi kepentingan strategik dan nilai bersama yang mesti terus diperkuat demi kestabilan rantau dan kesejahteraan sejagat. – KOSMO! ONLINE