MUAR – Seorang penganggur dipenjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap adik kandungnya, awal bulan ini.
Hakim Sayani Mohd Noor membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang berusia 19 tahun selepas mendengar dan mempertimbangkan rayuannya sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah rumah di Batu Pahat pada pukul 10 pagi, 4 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Hukuman bagi Seksyen 14 ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 iaitu tambahan hukuman, penjara maksimum lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pihak hospital memaklumkan seorang remaja dicabul abang kandung susulan penemuan kesan lebam pada leher mangsa.
Pada hari kejadian, mangsa ditemani ibunya ke hospital untuk rawatan lebam sekali gus membongkar kejadian sebenar berlaku terhadapnya.
Siasatan polis mendapati mangsa dengan tertuduh berlainan bapa, didakwa melakukan perbuatan itu ketika remaja terbabit sedang bermain telefon dalam bilik tidurnya.
Tertuduh juga didapati cuba melakukan perbuatan terkutuk tapi berjaya ditepis mangsa sehinggalah lelaki itu keluar dari bilik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain penjara dan denda, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman.-KOSMO! ONLINE