MARANG – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang baru menjalani prosedur rawatan jantung bulan lalu membayangkan mahu mempertahankan jawatan Presiden Pas dalam pemilihan parti pada September depan.
Beliau memberitahu belum berhasrat untuk berundur sebagai Presiden Pas yang disandangnya sejak tahun 2002 sebaliknya terus berkhidmat sehingga ke akhir hayat.
“Saya kalau boleh hendak mati dalam bertugas (dalam Pas). Alhamdulillah, masih sihat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Terdahulu Abdul Hadi, 77, menjalani prosedur rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada pertengahan bulan lalu.
Tahap kesihatannya itu meningkatkan desas-desus kononnya beliau mahu berundur sebagai presiden dalam pemilihan parti pada Muktamar Pas ke-71 di Kedah pada September depan.
Dalam pada itu, sewaktu mengulas desakan agar Perikatan Nasional (PN) memilih pengerusi baharu, Abdul Hadi berkata, ia akan dibincangkan secara bersama dengan parti-parti gabungan dalam PN.
Beliau berkata, kedudukan Pengerusi PN yang kini disandang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ditentukan secara bersama bukan satu parti sahaja dalam gabungan tersebut. – KOSMO! ONLINE