LONDON – Pemain tenis sensasi dari Poland, Iga Swiatek mara ke final Wimbledon sulungnya dengan menundukkan Belinda Bencic 6-2, 6-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung awal pagi semalam.
Swiatek pakar gelanggang tanah liat dan juara Grand Slam lima kali sebelum ini tidak pernah melepasi peringkat suku akhir di Wimbledon, namun kali ini mempamerkan aksi bertenaga sejak awal permainan apabila berjaya mematahkan banyak servis Bencic sepanjang perlawanan.
“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan berpeluang bermain di final, jadi saya sangat teruja dan bangga dengan diri sendiri. Tenis sentiasa mengejutkan saya. Saya sangka saya sudah melalui segalanya walaupun masih muda.
“Saya fikir saya telah mengalami pelbagai situasi di gelanggang. Saya tidak berpengalaman bermain dengan baik di atas rumput. Ini kali pertama dan saya sangat teruja serta menikmatinya sepenuhnya,” katanya.
Juara empat kali Terbuka Perancis itu tidak memiliki rekod yang baik aksi di gelanggang rumput, namun keyakinannya semakin meningkat selepas berjaya mara ke final dalam kejohanan acara pemanas badan aksi gelanggang rumput di Bad Homburg.
Walaupun Bencic hanya melakukan sedikit kesilapan sendiri, dia tetap gagal menyaingi intensiti luar biasa Swiatek yang kelihatan sangat fokus dan bertenaga sepanjang perlawanan.

Bencic yang kembali beraksi Oktober lalu selepas cuti bersalin, sebelum ini bermula tahun ini dengan ranking ke-489, namun berjaya melonjakkan prestasi untuk mara sejauh ini.
Swiatek kini bakal bertemu Amanda Anisimova dari Amerika Syarikat di pentas final selepas pemain itu mengejutkan pilihan utama, Aryna Sabalenka dalam satu lagi aksi separuh akhir. – KOSMO! ONLINE