PARIS – Kylian Mbappe dan Cristiano Ronaldo miliki pilihan yang sama dalam memilih siapa yang layak merangkul Ballon d’Or 2025 dengan kedua-duanya menyatakan sokongan jelas kepada rakan senegara Mbappe, Ousmane Dembele.
Anugerah berprestij itu akan diserahkan September ini dengan senarai pencalonan dijangka diumumkan bulan hadapan berdasarkan prestasi antara 1 Ogos 2024 hingga 31 Julai 2025.
Dembele meledak 34 gol sepanjang tempoh itu setakat ini dan menjadi tonggak utama Paris Saint-Germain (PSG) merangkul treble sekali gus menjadi faktor meyakinkan Mbappe untuk menyokong pemain sayap itu mengatasi calon lain termasuk bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal.
“Orang bercakap tentang Yamal dan Dembele, tapi pilihan saya jelas, saya undi untuk Dembele. Saya rasa tak perlu penjelasan panjang pun,” kata Mbappe.
Dembele dan Yamal baru-baru ini bertembung dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Perancis 5-4 sebelum tewas kepada Portugal menerusi penentuan penalti.
Ronaldo yang turut beraksi dalam kejohanan itu berkongsi pandangan serupa, menyifatkan Dembele sebagai antara pemain yang menyerlah musim ini dan layak diangkat jika dinilai berdasarkan kejayaan pasukan.
“Kalau ikut saya, pemain yang menonjol dan menang Liga Juara-Juara wajar menang. Tapi realitinya, tak ada lagi kata sepakat. Saya tak terlalu percaya pada anugerah individu sebab saya tahu apa yang berlaku di sebalik tabir,” kata Ronaldo.
Pemain tengah Manchester City, Rodri memenangi anugerah edisi lalu dan antara pencabar utama musim ini termasuk Jude Bellingham, Phil Foden serta Vinicius Jr. – AGENSI