MELAKA – Sepatutnya kami ke klinik untuk ‘scan’ jantina bayi dalam kandungan saya yang berusia lima bulan, tak sangka suami langsung tak sempat melihat anak kedua kami,”.
Itu luahan hiba isteri kepada Muhammad Haqimy Mohd. Amin, 26, anggota tentera yang meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam nahas di Jalan Tangga Batu, kira-kira pukul 8 malam tadi.
Kongsi Nur Farah Aisyah Johari, 25, dia sempat memeluk dan mencium suaminya sebelum arwah keluar rumah untuk pergi bekerja pagi semalam.
“Masa nak keluar arwah ada cakap dia balik lambat sikit sebab nak tolong kawan sakit dan kami berpelukan seperti biasa.
“Saya tunggu arwah balik sampailah abang ipar telefon maklumkan suami kemalangan dan meninggal dunia di lokasi, saya terus meraung kerana sukar menerima kenyataan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.
Tambahnya, suaminya yang bertugas di Kem Terendak juga pernah meluahkan hasrat ingin meninggal dunia dalam keadaan syahid.
“Baru minggu lepas dia cakap mahu mati syahid seperti perang di Palestin dan tidak sangka dia betul-betul pergi. Difahamkan arwah kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas membantu rakannya yang sakit,”ujarnya.
Terdahulu, Muhammad Haqimy dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang dari arah Sungai Udang ke lampu isyarat Tangga Batu merempuh sebuah Proton Gen 2.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta tersebut yang dari arah bertentangan tiba-tiba membelok ke kanan.-KOSMO! ONLINE