Kelmarin negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi meruntum jiwa apabila enam sekeluarga ditemui mati lemas berpelukan di tempat duduk belakang di dalam kereta Proton Iswara dinaiki mereka.
Ramai percaya, Allahyarham Mohd. Azim Izat Ishak, 32, cuba menyelamatkan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, 6 bulan.
Namun, usaha seorang bapa itu tidak berhasil. Kini, tinggallah zuriat sulung pasangan itu, Putri Qisya Nur Izzat, 12, bersendirian meneruskan kehidupan.
Tatkala penulis merenung gambar wajahnya, hati ini tersentuh dan pedihnya amat mendalam.
Kelopak matanya bergenang air mata, namun masih sempat mengukir senyuman. Adik Putri Qisya perlukan sokongan moral dan tidak boleh biarkan dia bersendirian.
Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, Putri Qisya berhadapan trauma kehilangan orang tersayang.
Katanya, trauma kehilangan ada tiga fasa yang perlu dilalui. Pertamanya, fasa kejutan.
“Siapa-siapa di tempat dia akan rasa kosong dan macam-macam dalam hati.
“Kedua, fasa penafian dan ketiga kemurungan iaitu apabila tiba masa dia akan rasa sedih, kosong, sunyi dan tak tahu nak mulakan daripada mana,” katanya.
Siti Fatimah berkata, antara sokongan yang diperlukan ialah kuasa empati yang bukan hanya sekadar kata-kata, tetapi tindakan yang nyata.
“Maksudnya kita perlu memahami apa yang dialami Putri Qisya sebagai diri kita sendiri.
“Kehadiran semua pihak adalah sangat penting sebagai contoh kunjungan, beri bantuan, meluangkan masa dan lain-lain,” katanya.
Menurut Siti Fatimah, sokongan yang diberikan sama ada besar atau kecil adalah sangat mempengaruhi emosi kanak-kanak itu.
Tambahnya, sokongan jangka panjang harus diberikan kepada Putri Qisya sebagai keperluan fizikal, keperluan emosi, pendidikan, persekitaran sosial dan spiritual.
“Jika keluarga masih ada tiada masalah. Jika tiada siapa-siapa, maka pihak berwajib perlu ambil tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan dan Konsultan Klinik, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Norulhuda Sarnon@Kusenin mahu orang ramai mengelak memberi tekanan dengan memaksanya bercerita atau bertanya perkara yang lepas.
“Berikan sokongan dan tunjukkan kasih sayang yang penuh ikhlas. Sokongan daripada orang yang signifikan itu akan mempercepatkan proses pemulihan.
“Walau bagaimanapun, kita perlu memberi masa kepada adik Putri Qisya dan tidak boleh jangka yang dia akan okey dalam jangka masa yang singkat walaupun setelah pelbagai bantuan diberikan, oleh itu sokongan emosi yang diberikan perlu berpanjangan dan berterusan,” katanya.
Tambah beliau, sokongan yang berterusan sangat penting, bukan hanya semasa krisis berlaku kerana tahap perkembangan kanak-kanak usia 12 tahun seperti adik Putri Qisya adalah berada di tahap transisi antara remaja dengan kanak-kanak.
Maka, cabaran emosinya juga lebih kompleks kerana dalam usaha membina jati diri, mereka masih sangat memerlukan sokongan dalam pelbagai aspek seperti kanak-kanak lain terutamanya bimbingan psikospiritual.















