PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki melemparkan kulit durian di atas jalan raya di Kota Bharu mendapat pelbagai reaksi, termasuk cemuhan segelintir netizen.
Perbuatan tidak berdisiplin itu dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial sejak semalam, sekali gus mencetuskan kemarahan netizen yang menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Di ruangan komen, orang ramai meluahkan rasa kesal dan tidak senang terhadap sikap individu tersebut.
“Sikap lelaki tersebut sangat teruk, langsung tiada rasa cinta kepada kebersihan. Kadang-kadang sungai juga dijadikan tempat buang sampah. Mohon pihak berwajib ambil tindakan,” komen @JamuPower.
“Pemilik kereta nombor pendaftaran ‘D’ ini bila mahu ubah mentaliti tentang kebersihan? Tolong jaga kebersihan negeri dan berdisiplin ketika di jalan raya,” komen @W.azraff.
“Ketika saya pertama kali datang ke Kelantan pun terkejut juga, kenapa negeri ini agak kotor? Tiada pihak yang pantau ke?,” balas @Kytes. – KOSMO! ONLINE