MONTREAL – Sepasang suami isteri di Kanada terkejut melihat sebuah bola misteri bercahaya muncul di belakang panahan kilat, lapor portal berita metro.co.uk semalam.
Ketika kejadian 2 Jun lalu, Ed dan Melinda Pardy sedang memerhatikan ribut petir dari anjung rumah mereka di pinggir bandar Edmonton apabila kilat menyambar.
Ed yang merupakan seorang peminat cuaca, kemudian melihat bola cahaya muncul di belakang kilat dan bergerak melintasi ufuk..
Katanya, bola cahaya itu terapung di ruang udara pada jarak kurang 1 kilometer dari rumah mereka.
“Bola cahaya itu menjadi lebih besar dan sangat terang,” katanya seperti laporan saluran berita CTV News.
Dia merakam fenomena itu dengan menggunakan telefon Melinda. Bola cahaya itu terapung kira-kira 23 saat sebelum hilang daripada pemandangan.
Pasangan itu berkata, mereka telah dihubungi oleh beberapa saintis dari Universiti Calgary berhubung penemuan tersebut. – AGENSI