GAYA maskulin, sporty dan moden begitu menyerlah pada rekaan luarannya.

Mantap, Audi pertama pemasangan Malaysia!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENTERA Audi Q7 S Line di saat meluncur di jalan raya pasti membuatkan orang ‘teruja’ dengan bentuknya yang nampak maskulin dan premium.

Tidak berlebihan dari segi gaya tetapi nampak gah dengan elemen bentuk atletik menerusi garis-garis badan yang berani serta trim S Line yang menyerlahkan penampilan luaran dan dalamannya.

Untuk makluman, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) mencipta sejarah apabila melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Audi yang pertama secara pemasangan tempatan (CKD), Q7 S Line.

SUV premium dengan konfigurasi tujuh tempat duduk ini bukan sahaja menjadi Audi pertama dipasang di Malaysia, bahkan yang pertama dikeluarkan di Asia Tenggara.

Pemasangan dibuat di kilang fasiliti Volkswagen Group Malaysia di Pekan, Pahang.

Pemasangan tempatan menandakan langkah besar Audi dalam mengukuhkan jenama buatan Jerman itu di rantau ini.

Q7 S Line CKD telah dilancarkan secara rasmi pada Mei lalu dengan harga bermula RM459,990 di pasaran iaitu lebih murah berbanding versi import.

Rekaan luar Q7 S Line CKD didatangkan dengan Black Styling Package Plus yang memberikan gaya lebih sporty, moden dan maskulin.

Bahagian bampar depan dan belakangnya hadir dalam rekaan lebih agresif dengan kemasan ‘S Line’, corak gril honeycomb dan aksen hitam.

Lampu nyalaan siang adalah jenis LED berbentuk ‘panah’ yang merupakan signatur Audi.

Ia diperkemas dengan rim Audi Sport V-Spoke bersaiz 22 inci sekali gus melengkapkan identiti S Line.

SISTEM bunyi yang premium menambah keseronokan pemanduan.

Ada empat pilihan warna luaran ditawarkan iaitu Glacier White, Waitomo Blue dan Mythos Black sebagai warna metalik serta Daytona Grey.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji SUV premium ini yang sememangnya berprestasi tinggi dan masih mengekalkan kualiti premium Jerman walaupun dipasang di sini.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin petrol 3.0-liter Turbo Fuel Stratified (TFSI) V6 yang mampu menjana kuasa maksimum 340PS dan tork 500Nm.

Ia turut dilengkapi dengan sistem mild-hybrid 48 voltan yang dapat menjimatkan minyak dan mengurangkan pelepasan emisi karbon.

Dari keadaan pegun, Q7 S Line mampu memecut sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 5.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Kuasa disalurkan melalui transmisi Tiptronic 8 kelajuan dengan pengagihan pintar ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro.

Sepanjang pemanduan, penulis dapat merasakan ‘kehebatan’ jentera ini yang amat tegap dan seimbang apabila memecut melebih 210km/j di lebuh raya.

Menerusi ciri Audi Drive Select, pemandu boleh memilih sehingga tujuh mod pemanduan berbeza untuk disesuaikan dengan jenis permukaan jalan dan keadaan pemanduan secara optimum.

Tujuh mod iaitu auto, comfort, dynamic, efficiency, offroad, allroad dan individual boleh diselaraskan untuk mengubah suspensi udara adaptif, stereng dan transmisi enjin.

Pengalaman pemanduan dengan Q7 S Line terasa lebih lancar kerana SUV ini walaupun premium tetap mempunyai ciri off-road dengan kebolehan tetapan mengikut struktur jalan dan gaya pandu diinginkan.

Malah, sistem AWD quattro dalan kenderaan ini mampu memberikan tahap cengkaman dan agihan kuasa yang baik.

Di laluan tidak rata, ketinggian kenderaan boleh dinaikkan sehingga 60mm (daripada tahap ketinggian biasa), manakala untuk pemanduan di lebuh raya, ia boleh direndahkan sebanyak 30mm bagi meningkatkan aerodinamik dan kestabilan.

Dari segi dimensi, SUV premium itu dihasilkan dengan panjang 5,063mm panjang, 1,970mm lebar, 1,741mm tinggi dengan jarak antara roda 2,995mm.

Kapasiti tangki minyak adalah 85 liter dan boleh mencapai jarak gerak sehingga 660km dengan isian penuh, agak jimat dan lebih penting minyak petrol RON95 boleh digunakan.

Aspek keselesaan turut ditekankan pada ruangan kabin dengan kerusi bahagian depan dibalut material kulit Valcona berserta sulaman logo ‘S Line’ dan kerusi pelarasan penuh.

Sistem navigasi Q7 S Line adalah menerusi skrin bersaiz 12.3 inci bersama kawalan intuitif di hujung jari anda.

Q7 turut hadir dengan paparan head-up (HUD) sebagai ciri standard yang memaparkan kelajuan, mod bantuan pemandu dan arah navigasi pada cermin utama di hadapan pemandu.

Sistem Bunyi Premium 3D Bang & Olufsen yang mengagumkan pula menjanjikan pengalaman audio tiga dimensi sebenar yang tiada tandingan melalui 19 unit pembesar suara yang ditempatkan secara strategik di seluruh kabin.

Kesimpulannya, penulis melihat Q7 S Line sebagai sebuah SUV premium yang mempunyai semua ciri penting dalam sebuah kereta iaitu prestasi, efisien (jimat minyak) dan amat selesa untuk pemanduan bersama keluarga.

Berbaloi dimiliki terutama dengan harga CKD yang ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN