PETALING JAYA – Kunjungan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Paris telah mencapai matlamat utamanya iaitu memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, kunjungan itu juga membuka ruang kerjasama strategik yang lebih meluas antara dua negara sahabat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.
“Salut saya buat seluruh pasukan kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Paris, para petugas keselamatan dan rakan-rakan media yang telah memastikan kelancaran setiap aturcara sepanjang berada di kota ini,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam hantaran itu juga, Anwar turut memaklumkan beliau dan delegasi Malaysia kini menuju ke Rio De Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Ke-17.
Dalam lawatan rasmi di Perancis, Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Turut mengiringi Anwar, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Perancis kekal sebagai satu daripada lima rakan perdagangan utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.
Pada 2024, perdagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan antara Januari hingga Mei tahun ini.
Lawatan ke Perancis selama beberapa hari itu turut menyaksikan pemeteraian perjanjian penting antara syarikat Malaysia dan Perancis dalam sektor penerbangan, pelaburan dan bioekonomi.
Anwar dijadualkan mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil, bermula hari ini hingga 7 Julai bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17. – KOSMO! ONLINE