Jumlah korban rakyat Palestin selama lebih 20 bulan pencerobohan tentera Israel di Gaza melebihi 55,000 orang. Lebih 128,000 lagi cedera akibat kekejaman langsung Israel.
Korban sebenar jauh lebih tinggi kerana tidak mengambil kira berpuluh-puluh ribu mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan dan mereka yang mati akibat wabak penyakit. Majoriti penduduk yang dibunuh wanita dan kanak-kanak.
Profesor Emeritus Universiti Bradford, Paul Rogers berkata, pengeboman Israel di Gaza menyamai kekuatan enam bom atom yang digugurkan di Hiroshima semasa penghujung Perang Dunia Kedua.
Pada masa sama, rakyat Palestin dinafikan makanan dan air. Pusat-pusat agihan mengumpan mereka keluar sebelum ditembak secara membabi buta.
Di Gaza, penduduk Palestin berjumlah sekitar 2 juta orang, namun sekurang-sekurangnya 20 peratus telah terkorban.
Pun begitu, masih tiada negara Arab atau Islam lain tampil – jikalau tidak kerana agama, memadailah demi kemanusiaan untuk menawarkan tempat berlindung kepada wanita serta kanak-kanak Palestin.
Saban hari kita mendengar kata-kata pemimpin serta agamawan mengenai isu ini dan pendapat mereka agak menyedihkan.
Mereka berkata, jika negara-negara Islam bersetuju menerima pelarian Palestin, dunia Islam akan masuk ke dalam perangkap Israel yang mahu merampas tanah air mereka.
Jika negara-negara Islam menerima pelarian Palestin juga, siapa akan memperjuangkan Tebing Barat yang terletaknya kota-kota bersejarah dalam agama langit, Baitulmuqaddis serta Gaza?
Mereka berkata lagi, Israel mesti berundur dan berhenti melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin. Dan inilah yang dilontarkan sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Jikalau Israel enggan berundur? Negara-negara Islam membantah di segenap pentas atau sidang antarabangsa dalam kitaran yang berterusan selama berdekad-dekad.
Kata mereka lagi, kami tidak menerima pelarian Palestin kerana rakyat Palestin lebih rela mati berjuang daripada melarikan diri. Beberapa agamawan berkata, kesengsaraan mereka sebentar sedangkan mereka itu mati syahid.
Tidak salah untuk negara-negara Islam menerima pelarian Palestin khususnya wanita dan kanak-kanak.
Perjuangan Palestin tidak pernah berakhir dan akan berterusan sehingga ke waktunya. Negara-negara Islam sepatutnya berasa malu kerana tidak sanggup memberi perlindungan kepada saudara seagama mereka.
Bumi Palestin tidak akan ke mana, semuanya sudah dalam ketentuan, ia mungkin jatuh ke tangan Israel tetapi bukan hakiki, sedangkan selepas berdoa, umat Islamlah tempat rakyat Palestin bergantung harap.
Selepas lebih 30,000 kanak-kanak Palestin terbunuh, dunia kini tertumpu kepada negara-negara Islam? Bukan, dunia menanti untuk Presiden Donald Trump menamatkan genosid di Gaza. Adakah tanah itu lebih berharga daripada nyawa kanak-kanak dan wanita?














