KUALA LUMPUR – Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) dikesan merekrut ahli mereka menggunakan platform media sosial serta aplikasi WhatsApp dan Telegram.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, gerakan itu dipercayai mempunyai keahlian seramai 100 hingga 150 orang terdiri daripada warga Bangladesh.
Mereka mengenakan yuran keahlian RM500 setiap seorang untuk setahun.
“Media sosial digunakan bagi menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia) dan menyusun aktiviti rahsia termasuk pengajian agama serta perjumpaan ahli.
“Ahli yang melafazkan baiah dalam talian dilantik sebagai ketua sel untuk memperluaskan pengaruh dan pengambilan ahli dilakukan secara berfasa bermula saringan keahlian hingga membentuk kelompok elit,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.
Mohd. Khalid berkata, kegiatan kumpulan itu berjaya dikesan pihaknya menerusi akaun media sosial yang menggunakan alamat internet Malaysia dan aktif menyebarkan fahaman radikal.
Jelasnya, seramai enam individu ditahan dalam operasi fasa pertama pada 28 April lalu di Selangor yang mendedahkan struktur GMRB yang berpangkalan di Johor.
“Fasa kedua pada 7 Mei lalu yang mana operasi diteruskan di Johor. Kita berjaya menahan 14 individu termasuk ketua kumpulan GMRB.
“Bagi fasa ketiga pada 19 hingga 21 Jun, seramai 16 individu ditahan sekali gus menutup rangkaian utama GMRB yang beroperasi di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE