BESUT – Pemandu bot yang terlibat dalam insiden bot terbalik sehingga mengorbankan tiga pelancong di Pulau Perhentian dekat sini Sabtu lalu mengaku bersalah menyalah guna dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Azrie Yazid, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri.
Berdasarkan pertuduhan, Azrie didakwa memasukkan dalam dadah jenis Nimetazepam ke dalam badannya.
Tertuduh didakwa berbuat demikian di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini pada pukul 10.05 pagi, 29 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Azrie dibebaskan dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.
Sebutan semula kes bagi menerima laporan patologi ditetapkan pada 4 September depan.
Kosmo! Isnin lalu melaporkan bot dipandu suspek yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik akibat dipukul ombak besar berhampiran Pulau Perhentian Besar, dekat sini. – KOSMO! ONLINE