PETALING JAYA – Lebih 3,000 penduduk di kawasan Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar, Pulau Pinang kini menikmati kemudahan internet yang lebih stabil dan berkualiti hasil pelaksanaan projek rintis perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G Enam Hala.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil tinjauan beliau ke atas projek tersebut yang dijalankan di Menara Komunikasi Tanjung Asam awal minggu ini, menunjukkan keberkesanan pendekatan itu dalam memperluas liputan internet di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
“Langkah ini selari dengan inisiatif “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet” dalam memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Projek MOCN ini menyaksikan kerjasama antara pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Malaysia untuk berkongsi infrastruktur rangkaian bagi memastikan capaian yang lebih menyeluruh, cepat dan kos efektif kepada rakyat.
Pendekatan ini sejajar dengan prinsip Kerajaan Madani dalam memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus digital, terutamanya di kawasan yang sebelum ini berdepan masalah liputan internet tidak stabil. – KOSMO! ONLINE