GEORGE TOWN – Seramai 18 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Myanmar dicekup dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Anson di sini, semalam.
Operasi yang dijalankan sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang itu bermula pukul 11 malam dilakukan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti tidak bermoral ditawarkan kepada pelanggan.
Mereka yang ditahan terdiri 17 wanita warga Vietnam dan seorang warga Kemboja. Turut ditahan ialah pekerja di premis berkenaan yang merupakan warga Bangladesh.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan mendapati mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Semasa serbuan dijalankan, ada dalam kalangan mereka cuba meloloskan diri daripada dicekup namun tindakan mereka akhirnya berjaya disekat anggota yang terlebih dahulu berada di lokasi serbuan.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen di Sebebrang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Juru untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -KOSMO! ONLINE