fbpx

Rosman tidak abai beregu lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSMAN

KUALA LUMPUR – Usaha untuk melahirkan beregu wanita kedua negara yang mampu memberikan cabaran sentiasa berjalan meskipun ketika ini tumpuan lebih terarah kepada gandingan utama, Pearly Tan-M. Thinaah.

Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak menegaskan, biarpun Pearly-Thinaah menjadi sandaran utama negara dalam setiap kejohanan, namun beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menyediakan beregu pelapis.

Ketika ini, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing adalah beregu kedua terbaik selepas Pearly-Thinaah, namun beliau tidak menamakan secara khusus pasangan yang dianggap gandingan kedua.

“Sekarang semua orang fokus kepada Pearly-Thinaah tetapi kerja kita bukan tertumpu kepada mereka sahaja. Usaha untuk menyediakan pasangan nombor dua dan tiga tetap berjalan, oleh itu kita perlu sentiasa bersedia.

“Saya tidak mahu cakap pasal individu kerana bagi saya semua ada peluang untuk jadi nombor dua atau nombor tiga dan mereka perlu bersaing. Setakat ini, Ong Xin Yee-Carmen Ting menunjukkan prestasi lebih baik berbanding junior lain,” katanya.

Pada masa sama, Rosman turut menganggap Xin Yee-Carmen menunjukkan perkembangan cukup baik apabila mereka berjaya menembusi kelompok 45 terbaik dunia dalam tempoh singkat dengan menghuni ranking ke-41 dunia ketika ini.

“Progres Xin Yee-Carmen sangat bagus kerana daripada ranking yang terlalu jauh, sekarang sudah masuk kelompok 45 teratas. Untuk pemain beregu wanita berumur 18 atau 19 tahun, itu satu perkembangan yang baik tetapi perjalanan masih panjang,” ujarnya.

Beliau juga sudah dapat mengesan potensi beregu muda, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu yang mula mencipta nama di kejohanan-kejohanan kecil selepas memenangi Terbuka Slovakia bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI