KUALA TERENGGANU – Kes sumbang mahram di Terengganu meningkat 80 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, setakat ini, sembilan kes sumbang mahram telah dilaporkan sejak awal tahun berbanding cuma lima kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Ia menyumbang kepada peningkatan 3.8 peratus kes jenayah seksual di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu 108 kes termasuk melibatkan rogol.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 41 kes rogol dilaporkan di negeri ini iaitu kenaikan 10.81 peratus,” katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, kebanyakan mangsa sumbang mahram berusia dalam lingkungan 12 hingga 24 tahun manakala lima hingga 27 tahun pula bagi kes rogol.
Beliau berkata, suspek kes sumbang mahram berumur antara 29 hingga 64 tahun manakala 15 hingga 72 tahun pula bagi kes rogol.
“Antara faktor kes jenayah seksual termasuk sumbang mahram tersebut ialah ahli keluarga berlainan jantina terpaksa berkongsi tandas dan bilik tidur sehingga kurangnya privasi.
“Segelintir ibubapa juga kurang peka menganggap ahli keluarga terutama bapa kandung atau tiri tidak akan tergamak melakukan jenayah seksual berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE