PETALING JAYA – Pemandu kereta jenis Nissan Almera yang terlibat dalam kejadian motosikal berkuasa tinggi menghempap pintu kenderaannya di Terowong Menora pada Isnin lalu tampil menjelaskan situasi sebenar mengenai salah faham yang tular di media sosial.
Sebelum ini, penunggang motosikal terbabit dikecam kerana dituduh melarikan diri tanpa mengambil tanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku.
Namun, menurut perkongsian pemandu kereta berkenaan, Iskandar Abdullah, dakwaan tersebut tidak benar kerana penunggang motosikal itu telah tampil menyelesaikan perkara tersebut secara baik.
“Kereta saya kemik, itu belakang cerita kerana yang penting penunggang motosikal itu selamat.
“Untuk pengetahuan semua dia (penunggang motosikal) tidak lari, dia hanya parkir di hadapan sedikit kemudian datang balik jalan kaki minta nombor telefon saya untuk menyelesaikan masalah itu,” tulisnya menerusi hantaran berkenaan.
Iskandar turut memberitahu, dia langsung tidak meminta sebarang bayaran ganti rugi, namun penunggang motosikal itu berkeras untuk membayar sebagai tanda bertanggungjawab.
“Saya lega sebab dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Kereta pun saya sudah ‘repair’ (baiki) tetapi dia (penunggang motosikal) berkeras nak beri duit dan minta nombor akaun saya. Saya pun beritahu supaya hanya berikan seikhlas hati,” jelasnya.
Sementara itu, dia turut menyeru orang ramai agar tidak terus membangkitkan isu tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada semua individu yang membantu ketika kejadian.
“Tidak perlu bangkitkan apa-apa isu kerana tiada mana-mana pihak yang salah mahupun penunggang motosikal atau yang merakam video saya.
“Kepada abang-abang motosikal lain yang membantu, terima kasih banyak, korang semua terbaik dan awak semualah hero sebenar,” katanya.
Menerusi ruangan komen, kebanyakan netizen memuji sikap matang dan sabar yang ditunjukkan Iskandar dalam menghadapi situasi yang mencabar itu.
“Allahu bang, terima kasih banyak, tengok video abang ini mungkin menjadikan ia asbab untuk saya lebih banyak bersabar dengan segala ujian mendatang,” komen Pokree.
“Hormat sangat lelaki macam ini, tinggi kesabaran apabila menghadapi ujian bukan jenis yang menjerit-jerit atau ajak bergaduh,” kata Mak Tiri. -KOSMO! ONLINE
@iskandarabdullah__Kereta kemek? belakang cerita. Yang penting rider tu selamat. Dia tak lari, dia park depan sikit dari saya dan datang balik jalan kaki minta nombor saya. Dia baya baya ayah saya je, tak terbayang kalau ayah saya / ayah mertua saya yang kena macamtu. Dia Chinese, saya Malay. Dalam hal ni tak perlu bangkitkan isu perkauman. Dia whatsapp saya, saya tanya dia ada apa apa cedera tak? Dia reply takde apa apa luka tu pun dah buat saya dan isteri lega. Kereta pun saya dah repair. Rider pun berkeras nak bagi duit. Cuba alih topik. Dia mnta juga nombor akaun. Kami cuma cakap bagi la seikhlas Uncle. Uncle memang orang yang baik! saya salute 🫡 Dan pada abang abang yang tolong angkat motor tu pun, semua nya terbaik. awak semua lah hero sebenar. Salute semua yang membantu dalam video ni 🫡 Moga kita semua dilindungi olehnya 🤲