DUA saingan Grand Prix Sepak Takraw di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan menjadi penentu utama kepada pemilihan akhir skuad negara ke Piala Raja Thai 2025 di Bangkok dari 20 hingga 27 Julai ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, pihaknya sudah menghantar cadangan awal pemain kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), namun senarai akhir akan dimuktamadkan selepas tamat kedua-dua kejohanan itu.
Katanya, dua platform itu memainkan peranan penting dalam menentukan kecergasan, konsistensi dan keserasian antara pemain, terutamanya mereka yang disenarai pendek untuk penampilan di pentas antarabangsa.
“Kami sedang menilai prestasi pemain secara menyeluruh. Kejohanan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan beri gambaran jelas mengenai tahap semasa mereka sebelum kita buat keputusan muktamad
“Kejohanan tempatan adalah platform terbaik untuk menilai pemain dalam situasi kompetitif sebenar. Ia juga peluang terakhir mereka buktikan kemampuan sebelum berlepas ke Thailand,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Jais enggan menjadikan masa persiapan yang agak terhad sebagai alasan gagal menampilkan pasukan terbaik wakili negara di Bangkok nanti.
“Kami akan manfaatkan baki masa yang ada sepenuhnya untuk memantapkan gandingan dan regu utama. Fokus kami jelas bawa cabaran terbaik ke Piala Raja Thai,” katanya.
Skuad negara sebelum ini menampilkan aksi terbaik mereka sewaktu Piala Asia di Stadium Titiwangsa dua bulan lalu apabila berjaya menjuarai acara kuadran dan regu selain naib juara double serta regu berpasukan.