HULU SELANGOR – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Gedangsa, di sini.
Suspek ditahan sekitar jam 5.30 petang semalam hasil risikan dan serbuan yang dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki terbabit membawa kepada penemuan lapan peket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin.
“Susulan rampasan tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana kesalahan penggunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Asri menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah, penyalahgunaan dadah mahupun kegiatan mencurigakan di kawasan mereka. – KOSMO! ONLINE