MARANG – Tindakan seorang lelaki Rohingya menyembunyikan 72 paket minyak masak peket bersubsidi, membawa padah apabila premis perniagaannya diserbut pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, lelaki itu didapati menyembunyikan barangan kawalan itu di dalam empat buah kotak.
“Pemeriksaan berjaya menemui 72 peket minyak masak bersubsidi terbabit yang disimpan di dalam empat kotak.
“Nilai keseluruhan barangan kawalan yang dirampas tersebut ialah RM180,” katanya selepas mengetuai operasi bersepadu di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu semalam.
Mohd. Mufsi berkata, operasi bersepadu tersebut turut disertai pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Terengganu ( MBKT), Polis Diraja Malaysia ( PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Majlis Keselamatan Negara.
Beliau berkata, sebanyak 10 kes kesalahan kepenggunaan dikesan dengan kompaun bernilai keseluruhan RM3,000 dikeluarkan dalam operasi tersebut.
“Operasi sama turut berjaya menahan tiga warga asing iaitu dua lelaki Rohingya dan seorang lelaki Pakistan atas kesalahan imigresen. Mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas lawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE