PETALING JAYA – Anak perempuan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, dilaporkan cedera serius pada bahagian mata ketika menyertai satu protes aman di Sydney, Australia.
Hannah Thomas, yang juga mangsa protes itu menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan bahawa kecederaan tersebut berlaku selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis New South Wales, sehingga menyebabkan mata kanannya berisiko mengalami kecacatan kekal.
“Saya berpotensi hilang penglihatan kekal pada mata kanan akibat interaksi dengan polis New South Wales ketika menyertai protes aman,” katanya.
Difahamkan, Hannah kini sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa New South Wales yang didakwanya menggunakan keganasan ketika menangani protes tersebut.
Dia yang dikenali sebagai aktivis pro-Palestin turut menyatakan insiden itu berlaku ketika dia cuba mempertahankan diri daripada kekerasan pihak berkuasa yang didakwa memperkenalkan undang-undang anti-protes.
“Keadaan saya jadi begini ketika mempertahankan diri ketika pihak berkuasa yang menggunakan keganasan untuk menegakkan undang-undang anti-protes serta memburukkan penunjuk perasaan terutamanya yang mempertahankan Palestin.
“Apa yang saya lalui ini tidak seberapa berbanding penderitaan rakyat di Gaza, Palestin yang berdepan kekejaman rejim Zionis.
“Kanak-kanak dipotong anggota badan tanpa ubat pelali, berdepan kebuluran dan ditembak, malah terpaksa beratur panjang demi mendapatkan makanan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Hospital Bankstown, Australia atas rawatan yang diberikan. – KOSMO! ONLINE