LONDON – Bintang tenis Poland, Iga Swiatek mahu menjadikan saingan Wimbledon 2025 sebagai pentas kebangkitannya selepas terkandas di pentas final di Terbuka Bad Homburg, awal pagi semalam.
Pemain nombor satu dunia itu tetap berpuas hati dengan peningkatan prestasinya biarpun terpaksa akur dengan kekalahan terhadap pemain Amerika Syarikat, Jessica Pegula menerusi keputusan 4-6, 5-7.
“Kejohanan ini menunjukkan masih ada harapan buat saya di atas rumput. Saya semakin yakin dengan permainan sendiri,” kata juara Grand Slam lima kali itu.
Kejohanan tersebut adalah final pertama Swiatek di gelanggang rumput dalam karier profesional, sekali gus memberi keyakinan baharu menjelang Grand Slam ketiga musim ini.
Swiatek yang sebelum ini telah mengumpul 22 gelaran WTA dan 12 kemenangan di gelanggang keras dan 10 di tanah liat, namun pemain berusia 23 tahun itu belum pernah menjulang sebarang kejuaraan di gelanggang rumput.
Bagaimanapun, persembahannya di Bad Homburg menunjukkan peningkatan ketara termasuk kemenangan bergaya ke atas finalis Wimbledon 2023, Jasmine Paolini, 6-1, 6-3 di separuh akhir.
Di Wimbledon nanti, Swiatek akan memulakan aksi bertemu pemain Russia, Polina Kudermetova dan selepas itu akan bertemu Elena Rybakina di pusingan keempat dan juara Terbuka Perancis, Coco Gauff di suku akhir. – AGENSI