SPIELBERG – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner mendedahkan Max Verstappen kini terganggu dengan spekulasi mengenai masa depan dalam Formula Satu (F1), khususnya minat Mercedes untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
Ketika ini, pelumba Belanda itu masih terikat kontrak bersama Red Bull sehingga tahun 2028, namun laporan menyebut terdapat klausa pelepasan dalam kontraknya yang membolehkan pasukan lain menyambar khidmatnya lebih awal.
Horner menegaskan bahawa Red Bull tidak terkesan dengan khabar angin tersebut dan yakin Verstappen akan terus bersama mereka seperti yang telah dipersetujui.
“Ia hanyalah bunyi bising dari luar. Saya rasa Max (Verstappen) sendiri agak terganggu dengan perkara ini. Kami jelas bahawa kontrak kami dengan Max adalah sehingga 2028,” katanya semalam.
Spekulasi terus memuncak apabila pemandu Mercedes, George Russell mendedahkan bahawa perbincangan antara pasukan itu dan Verstappen memang sedang berlangsung.
Mercedes turut dilaporkan sedang menilai masa yang sesuai untuk membuat tawaran rasmi, meskipun Ketua Pasukan, Toto Wolff memberi bayangan mereka akan mengekalkan Russell dan pelumba muda, Kimi Antonelli bagi musim 2026.
Bagaimanapun, perubahan peraturan teknikal yang bakal diperkenalkan tahun hadapan berpotensi mengubah susunan kuasa pasukan dan memberi peluang kepada Mercedes untuk menarik minat Verstappen sekiranya Red Bull gagal kekal kompetitif. – AGENSI