IMPIAN untuk mendidik anak bangsa menjadi antara matlamat utama seorang gadis berasal dari Raub, Pahang sejak kecil.
Besse Junaida Jusmanuddin, 21, atau mesra disapa sebagai Mika berkata, dia juga amat menghargai masa bersama keluarga dan rakan-rakan, terutama apabila mempunyai kelapangan.
Walaupun sibuk dengan komitmen harian, anak ketiga daripada empat beradik ini akan cuba memperuntukkan masa untuk insan tersayang sebagai bentuk penghargaan dan sokongan terhadap mereka yang sentiasa berada di sisinya.
Kepada Kosmo! Ahad, dia berkongsi perjalanan hidup dan impian masa depannya.
KOSMO! AHAD: Kongsikan tentang diri anda?
BESSE JUNAIDA: Saya seorang pelajar sepenuh masa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tetapi pada masa sama juga seorang pencipta kandungan terutamanya tentang kecantikan dan kesihatan. Sebelum ini, saya pernah menyertai salah satu pasukan pencipta kandungan popular. Namun, ia tidak lama kerana saya memilih untuk melanjutkan pengajian dan menggunakan platform peribadi untuk meneruskan kerja sampingan tersebut.
Sewaktu di bangku sekolah, saya seorang yang aktif dalam sukan seperti hoki, bola jaring, olahraga dan banyak lagi. Sejak meningkat dewasa serta sesuai umur dan kerjaya, saya lebih banyak berubah menjadi pendiam.
Apakah yang mendorong anda memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan pendidikan?
Dari kecil lagi saya memang bercita-cita nak jadi seorang pendidik atau kita sering panggil cikgu. Saya sangat mengagumi usaha guru-guru saya sewaktu bersekolah dan menjadikan mereka sebagai inspirasi untuk menyambung pelajaran dalam bidang ini.
Saya, tidak pernah melihat guru-guru saya berputus asa mengajar meskipun penat. Mereka tetap memberikan sepenuh tenaga untuk mencurahkan ilmu kepada pelajar mereka. Jadi, perkara tersebut bukan sahaja meningkatkan semangat saya untuk sentiasa kuat dalam perjalanan ini, selain berasakan pekerjaan itu sangat mulia kerana percaya ilmu adalah satu anugerah yang patut dikongsi terutamanya dengan anak-anak remaja sekarang.
Pada pendapat anda, untuk menjadi pendidik yang baik, apa antara sikap perlu ada?
Pada saya, pendidik yang baik bukan sahaja mengajar tapi juga mendidik dengan hati. Kita sendiri perlu baik, dalam kata lain, maksud baik itu bakal pendidik perlu mempunyai sikap sabar, empati yang tinggi serta paling penting keikhlasan. Sebagai bakal pendidik, saya perlu memahami murid-murid saya bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga mental.
Ini kerana, pelajar akan datang daripada pelbagai latar belakang berbeza. Oleh itu, orang yang mengajar kena ada hati yang terbuka agar lebih mudah memahami mereka.

Perkara yang akan dilakukan jika ada waktu terluang?
Antara perkara yang saya akan lakukan kalau ada masa lapang, saya akan menyelesaikan tugasan kerja seperti ulasan produk (review) memandangkan itu merupakan salah satu punca pendapatan saya. Selain itu, saya lebih suka meluangkan masa dengan kawan-kawan. Kami akan keluar jalan-jalan, makan makanan enak.
Tiga impian yang ingin dicapai sebelum umur 30 tahun?
Antara impian utama yang saya ingin kecapi sebelum menginjak usia 30 tahun, ingin menjadi seorang pendidik yang memberi inspirasi kepada pelajar saya. Kedua, saya ingin meraikan kedua-dua ibu bapa saya dengan melayani mereka sebagai ‘raja’ dengan cara sendiri memandangkan mereka merupakan sistem sokongan yang paling besar dalam hidup saya. Jadi, merekalah orang paling layak untuk dihargai.
Ketiga, selain ingin berubah menjadi individu lebih taat kepada Ilahi, saya juga ingin menjelajah ke negara-negara impian bersama keluarga dan rakan. -KOSMO! ONLINE