fbpx

ATM perlu dilengkapi teknologi pertahanan terkini – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia 2025, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, peperangan di antara Iran dan Israel serta konflik di Gaza, menunjukkan lanskap politik global yang semakin mencabar dan tidak menentu.

Titah baginda, undang-undang antarabangsa juga tidak mampu untuk memelihara keamanan.

“Oleh sebab itu, adalah penting bagi Angkatan Tentera Malaysia untuk sentiasa bersedia dan dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Ini kerana kita tidak tahu siapakah kawan dan siapakah lawan,” titah baginda sempena Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia di Kem Perdana, Sungai Besi di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, peperangan ini juga memperlihatkan bagaimana Iran dan Israel dengan mudah menggunakan maklumat yang diperoleh daripada syarikat-syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial untuk melakukan serangan.

Sehubungan itu, baginda menegur mengenai budaya penggunaan media sosial di kalangan anggota tentera.

“Janganlah memuat naik semua perkara termasuk maklumat berhubung organisasi, penempatan pasukan, lokasi gerakan dan lain-lain maklumat sensitif mengenai Angkatan Tentera Malaysia.

“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Guna akal fikiran dan jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum.

“Adalah lebih baik kita beringat, supaya tidak menyesal kelak di kemudian hari,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan hendaklah menentukan tidak ada campur tangan politik ataupun pengaruh daripada syarikat pembekal dalam semua proses perolehan peralatan.

“Pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia juga hendaklah sentiasa amanah dan tidak terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah.

“Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, saya tidak akan bagi muka kepada sesiapa juga yang menggunakan kedudukan untuk kesenangan peribadi,” titah Sultan Ibrahim.

Pada istiadat tersebut, seramai 509 orang Pegawai Kadet ATM ditauliahkan selain berlangsung penyampaian Anugerah Pedang Kehormat dan Piala Khas kepada tujuh orang Pegawai Kadet Terbaik mewakili institusi latihan masing-masing iaitu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI I), serta Kolej Tentera Udara Sekolah Latihan Pegawai (KTU – SLP). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI