BESUT – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri maut akibat lemas ketika memancing di Sungai Besut berhampiran Kampung Amir di sini malam tadi.
Mangsa, Muhammad Amin Asyraf Zulkifli, 16, lemas sewaktu memancing bersama abang dan seorang rakan mereka pada kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Besut, Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, tali pancing remaja lelaki itu dikatakan telah tersangkut dalam kawasan semak di tebing sungai kira-kira sejam kemudian.
“Mangsa dikatakan telah berenang ke seberang sungai untuk melepaskan dan mengambil kembali tali pancing tersebut.
“Begitupun dia dikatakan hanyut dibawa arus deras sungai sebelum lemas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azamuddin berkata, abang Muhammad Amin Asyraf cuba menyelamatkannya namun gagal.
“Mayat mangsa berjaya ditemukan pada jarak kira-kira 14 meter dari tebing sungai pada pukul 9.05 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE