fbpx

Umat Islam perlu transformasi menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na’im ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H / 2025M di Mitec Kuala Lumpur, hari ini. Foto ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru agar umat Islam di negara ini menghayati makna Hijrah yang tidak lagi terbatas kepada perubahan fizikal semata-mata, sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh dari segi nilai, pemikiran dan sikap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, rakyat dituntut berhijrah daripada sikap pasif kepada proaktif dan kebergantungan kepada daya juang sendiri dalam membina negara Madani.

“Setiap rakyat menjadi ejen penggerak membudayakan ilmu, menjunjung nilai, mengutamakan perpaduan dan menghormati perbezaan sekali gus membangunkan keluarga, komuniti serta negara atas asas ihsan dan taqwa.

“Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertemakan ‘Membangun Ummah Madani’, suatu gagasan yang amat bertepatan dengan roh hijrah Rasulullah SAW.

“Tema ini menuntut kita mengangkat semula peranan ummah sebagai ejen rahmat, adil, dan progresif membina sebuah masyarakat yang berteraskan nilai dan berpaksikan akidah,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat menyempurnakan majlis berkenaan.

Turut berangkat ke majlis itu anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam majlis tersebut, hampir 8,000 tetamu menghadiri majlis sambutan itu termasuk kontinjen daripada kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan perwakilan asing.

Tambah Mohd. Na’im, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggagaskan Pelan Transformasi Al-Falah 2023-2027 yang bertunjangkan lima nilai hijrah iaitu Ilmu, Integriti, Itqan, Istiqamah dan Ikhlas sebagai kerangka hala tuju strategik pembangunan Islam di Malaysia.

Menurutnya, ini sekali gus menjadikan pentadbiran Islam lebih mampan selain rakyat lebih menyumbang serta komuniti lebih peduli.

Beliau berkata pelbagai inisiatif telah digerakkan antaranya Majlis Amanat Al-Falah 2025, Program Santuni Komuniti Madani, Program Zikir Akbar, Dakwah Berimpak serta Santuni Anak Yatim dan Petugas Barisan Hadapan.

“Semua ini mencerminkan bahawa roh hijrah sedang diterjemahkan dalam bentuk tindakan iaitu menyantuni rakyat, memperkukuh nilai dan memperkasakan masyarakat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI