ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru seluruh rakyat agar terus mendoakan kemenangan dan keselamatan penduduk Palestin dalam perjuangan mereka menegakkan hak dan maruah di bumi bergolak ketika ini.
Titah baginda, dengan semangat ukhuwah Islamiyah umat Islam perlu bersatu hati menyokong saudara seagama di bumi Palestin yang berdepan kezaliman dan penindasan rejim Zionis.
“Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kemenangan dalam memperjuangkan hak serta maruah mereka,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1447 Hijrah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Pada majlis itu baginda turut berkenan mencemar duli menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah, serta penerima Masjid Terbaik bagi kategori Bandar dan Luar Bandar. – KOSMO! ONLINE