BESUT – Sebanyak 103 kes kebakaran di kawasan kilang perindustrian direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima bulan terawal tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ir. Ahmad Izram Osman berkata, kebanyakan kebakaran kilang tersebut berlaku di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Perak.
“Mengikut statistik, Selangor merekodkan 35 kes, Johor (19 kes), Perak (11 kes) dan Pulau Pinang (9 kes).
“Bagaimana tiada kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan kebakaran kilang sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Latihan Amal Bencana Kecemasan Luar Bandar (REDEX)di Pulau Perhentian dekat sini hari ini.
Ahmad Izram berkata, sebagai perbandingan, sebanyak 433 kes kebakaran kilang yang menyebabkan kerugian RM42 juta direkod di seluruh negara pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE