CINCINNATI – Pengendali Borussia Dortmund, Niko Kovac mengakui teruja pasukannya dapat bergelar juara Kumpulan F selepas menewaskan Ulsan HD 1-0 dalam aksi Piala Dunia Kelab di Stadium TQL awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Dortmund berjaya meraih gol tunggal hasil penyudah Daniel Svensson sekali gus menyaksikan pasukan mengutip tujuh mata selepas mengharungi tiga perlawanan.
Kata Kovac, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain di atas padang bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan tetapi paling penting objektif untuk mara ke kelompok 16 pasukan terbaik dapat direalisasikan.
“Sasaran kami mahu layak melepasi peringkat kumpulan sekali gus lolos ke pusingan kalah mati dan saya bangga kami dapat mencapai misi tersebut dengan bergelar juara kumpulan.
“Walaupun prestasi pasukan tidak berada pada tahap terbaik dengan keadaan cuaca panas, namun saya masih berpuas hati. Cuma, kalau boleh kita manfaatkan peluang keemasan yang terhidang,” katanya.
Sementara itu, penyerang Dortmund, Karim Adeyemi mengakui pasukan sepatutnya boleh melakar kemenangan lebih besar ke atas kelab Korea Selatan itu jika jentera serangan menyudahkan setiap peluang yang ada.
“Kami berjaya menang dan tidak dibolosi. Saya rasa ini adalah aksi terbaik pasukan sepanjang aksi kumpulan dan saya harap pasukan bersedia untuk tugasan lebih mencabar pada aksi seterusnya,” katanya. – AGENSI