SEATTLE – Jurulatih Inter Milan, Cristian Chivu gembira pasukan dapat menyerap tekanan untuk menewaskan wakil Argentina, River Plate apabila bergelar juara Kumpulan E pada saingan Piala Dunia Kelab di Stadium Lumen Field pagi tadi.
Skuad Nerazzurri meraih tiga mata hasil penyudah Francesco Esposito dan Alessandro Bastoni dalam pertarungan yang menyaksikan pasukan lawan beraksi dengan sembilan pemain selepas Martinez Quarta serta Gonzalo Montiel dilayangkan kad merah.
Menurut Chivu, pasukannya mula menunjukkan taring sebenar dengan menyingkirkan pasukan pilihan seperti River Plate tetapi ujian sebenar buat barisan pemain adalah pada aksi kalah mati minggu depan.
“Saya tidak pernah bangga dengan pencapaian peribadi, sebaliknya barisan pemain yang bekerja keras untuk pastikan kami menang kerana ini adalah aksi hidup mati pasukan.
“Kini, kami sudah layak ke peringkat kalah mati dan perjalanan sebenar bermula. Saya harap pemain dapat cergas sepenuhnya untuk mengharungi aksi yang sukar bertemu Fluminense,” katanya.
Sementara itu, Esposito yang diberikan anugerah pemain terbaik perlawanan teruja dapat menjaringkan gol pertama buat Inter selepas diberi peluang membuat debut dalam kesebelasan utama pada kempen kali ini.
“Saya seperti tidak percaya apa yang berlaku kerana menjaringkan gol pertama buat Inter adalah sesuatu yang sukar untuk digambarkan,” kata penyerang kelahiran Itali berusia 20 tahun itu. – AGENSI