KOTA BHARU – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul anak perempuan tirinya di rumah mereka di sini kira-kira tiga minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul anak perempuan tirinya yang berusia 11 tahun tujuh bulan di dalam bilik sebuah rumah di sini kira-kira pukul 8 pagi pada 6 Jun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE