fbpx

Insurans guna akaun 2 KWSP ringankan beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Hamzah ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 Kendalian SME Bank di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. KOSMO!/SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini sedang mempertimbangkan langkah untuk memperkenalkan skim insurans asas kepada rakyat Malaysia dengan membenarkan penggunaan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai produk insurans berkaitan kesihatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah ini merupakan antara usaha kerajaan dalam memastikan rakyat mempunyai perlindungan asas yang mencukupi dalam menghadapi kos perubatan yang semakin meningkat saban tahun.

“Kita telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

“Kita juga telah mengumpulkan pemain-pemain industri untuk membincangkan cara mengurangkan impak inflasi terhadap kos perubatan,” katanya kepada pemberita di Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 Kendalian SME Bank di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata, antara perbincangan yang sedang berjalan adalah mengenai penciptaan satu skim insurans asas nasional dengan pendekatan yang tidak membebankan rakyat, dan ia masih di peringkat kajian serta perbincangan dasar.

“Kita sedang cari jalan terbaik. Jangan terburu-buru buat keputusan sebelum ada satu mekanisme yang benar-benar sesuai dan praktikal. Skim ini bukan sahaja perlu melindungi rakyat dari segi kesihatan, tapi juga dari aspek kestabilan ekonomi,” ujarnya.

Menurutnya, cadangan penggunaan Akaun 2 KWSP bagi membiayai produk insurans dikenali sebagai Malaysian Health Insurance Trust (MHIT) adalah antara pilihan yang sedang diteliti.

Namun begitu, katanya belum ada keputusan muktamad kerana ia memerlukan penelitian menyeluruh.

“MHIT adalah satu produk yang sedang dibangunkan. Selain itu, kita juga melihat kemungkinan sumbangan daripada sumber lain seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tapi semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya pencarum KWSP dibenarkan menggunakan Akaun 2 atau Akaun Sejahtera untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan.

Jika diluluskan kerajaan, kira-kira 16 juta pencarum KWSP akan berpeluang menikmati perlindungan insurans kesihatan termasuk rawatan di hospital swasta.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI