SEREMBAN – “Saya bukan pelajar genius, tetapi saya belajar setiap hari secara konsisten.”
Demikian luahan Muhammad Fahrin Danial Abd Aziz, 20, salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin yang mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan mencatat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
“Saya tidak sangka sebenarnya. Saya tak pandai macam orang lain. Tapi untuk mencapai kejayaan, saya jaga konsistensi apabila belajar. Setiap hari mesti ada masa belajar, walaupun sikit. Saya percaya kalau saya ulang setiap hari, lama-lama faham,” katanya yang mengambil aliran Sains Sosial.
Dia yang merupakan anak bongsu dari empat beradik kini memohon ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Bahasa Melayu dengan bercita-cita untuk menjadi guru, bagi menyambung legasi guru Sejarahnya, Cikgu Rohaya.
Tambahnya, kejayaan tidak semata-mata datang daripada akademik, tetapi juga daripada menjaga hubungan baik dengan Allah, ibu bapa, guru dan rakan-rakan.
“Saya rasa keberkatan itu yang bantu saya. Bila kita buat betul, belajar pun jadi tenang,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pelajar cemerlang kategori aliran Sains dari Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, Hew Siow Xuan 20 berkata, rahsia kejayaannya terletak pada konsistensi belajar setiap hari, bukan belajar bermusim.
“Buat latihan banyak dan paling penting menumpukan perhatian pada kelas,”katanya yang memohon melanjutkan pelajaran ke Univeristi Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan petroleum.