KANGAR – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Perlis terus mencatatkan kejayaan membanggakan apabila mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri sebanyak 2.87, meningkat 0.02 berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan) Perlis, Ahmad Sabri Mohamad berkata, pencapaian cemerlang itu turut menyaksikan seramai 20 calon memperoleh PNGK 4.00, meningkat berbanding hanya 16 orang pada 2023.
“Alhamdulillah, ini membuktikan bahawa komitmen warga pendidikan negeri ini terus kukuh dalam usaha memperkasakan pencapaian akademik pelajar.
“Kejayaan turut direkodkan apabila enam sekolah yang menjadi pusat peperiksaan STPM berjaya memperoleh keputusan lulus penuh 100 peratus seperti tahun lalu,” katanya semasa mengumumkan keputusan STPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, di sini hari ini.
Menurutnya, Perlis juga mencipta rekod baharu apabila tiada calon gagal STPM selama lima tahun berturut-turut sejak 2020.
“Jumlah calon yang memperoleh PNGK 3.00 ke atas juga meningkat, membuktikan kualiti calon semakin baik.
“Seramai 411 calon menduduki STPM tahun ini dan kesemua mereka layak dianugerahkan sijil STPM selepas lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE