PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka terus dominan pada kempen Liga Malaysia musim 2025/2026 selepas mengesahkan kehadiran dua pemain warisan ‘gred A’ skuad Harimau Malaya, Hector Hevel dan Jon Irazabal.
Sebagai rekod, kedua-dua pemain itu ditandatangani secara percuma selepas kontrak Hevel bersama kelab Liga Portugal, Portimonense SC dan Jon Irazabal (Sabah FK/Liga Azerbaijan) berakhir pada bulan ini.
Hevel mengakui Liga Malaysia (Liga M) memiliki keistimewaan tersendiri sekali gus tidak sabar untuk membantu skuad Harimau Selatan mengekalkan dominasi selepas bergelar juara quadruple dua musim berturut-turut.
“Mungkin hanya perbezaan intensiti kerana di luar berbeza, mereka ada corak permainan yang lebih tinggi. Namun, secara keseluruhan tidak ada banyak perbezaan kerana ini adalah bola sepak, semua orang ada taktikal tersendiri dan cara permainan mereka.
“Jadi, ia bergantung kepada setiap negara kerana ada liga yang memiliki kelebihan tersendiri berbanding liga lain tetapi (kebanyakannya) hampir sama.
“Pada saya, Liga M agak baik. Jadi, untuk pemain yang sudahpun berada dalam pasukan kebangsaan, mereka berada pada tahap sendiri dan kebanyakannya daripada mereka beraksi dalam Liga M sahaja,” katanya.
Hevel yang berusia 29 tahun itu melebarkan karier buat kali pertama di Asia Tenggara selepas berkelana di kelab ADO Den Haag (Belanda), AEK Larnaca (Cyprus), Andorra dan Cartagena (Sepanyol), selain Guangxi Pingguo (China).
Sementara itu, Irazabal mengakui tidak sabar untuk merasai cabaran yang akan diharungi bersama skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz itu.
“Ini adalah detik yang istimewa bersama JDT. Saya tidak sabar untuk mengharungi cabaran musim baharu nanti,” katanya.