KUALA LUMPUR – Kekangan logistik mungkin menyaksikan kontinjen negara melantik sekurang-kurangnya dua timbalan ketua kontinjen (CDM) pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.
Perkara itu disuarakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memandangkan temasya dwitahunan itu akan tertumpu di tiga lokasi iaitu Bangkok, Songkhla dan Chonburi.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung perkara itu dengan beberapa calon sudah disenarai pendek bagi menggalas tugas tersebut.
“Isu sekarang adalah berkait logistik kerana Sukan SEA nanti akan berlangsung di tiga lokasi berbeza seperti Bangkok, Songkhla dan Chonburi. Kami akan berbincang mengenai pemilihan seorang CDM dan sekurang-kurangnya dua timbalan.
“Kita akan melihat kepada tiga atau empat calon. Ia (calon) terdiri daripada pentadbir sukan dari MOM, bekas atlet serta wakil daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan akan dibincangkan bersama Menteri,” katanya.
Sebagai rekod, pelantikan dua timbalan CDM ke Sukan SEA sudah menjadi perkara biasa kerana ia pernah dipraktikkan pada edisi-edisi sebelum ini.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023, legenda tenpin boling negara, Datuk Shalin Zulkifli dan bekas pemain skuasy, Sharon Wee dilantik sebagai timbalan bagi membantu CDM, Datuk Nasir Ali menguruskan pasukan.
Dalam pada itu, Mohamad Norza turut mengumumkan Yonex sudah dilantik bagi membekalkan pakaian rasmi kontinjen negara pada Sukan SEA Thailand nanti.
“Kami sudah pun melantik Yonex dan kami akan duduk dengan mereka bagi membincangkan mengenai rekaan (pakaian) dan sebagainya. Kali ini, kami juga akan membawa Majlis Sukan Negara (MSN) bersama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE