SHAH ALAM – Kegiatan lima individu termasuk empat pengarah syarikat memalsukan dokumen palsu permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 memakan diri apabila direman hari ini.
Perintah reman selama empat hari terhadap kesemua suspek berusia 20 hingga 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kelima-lima suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 3 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Katanya, salah seorang daripada suspek direman juga merupakan warga Bangladesh yang bertindak sebagai pengarah syarikat.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Selangor yang mengandungi butir matan palsu dengan niat memperdayakan Jabatan Imigresen Selangor.
“Ini bagi membolehkan mereka mendapatkan permit kerja asing di negeri ini,” katanya hari ini.
Sumber menegaskan, kesemua suspek melalui syarikat masing-masing dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 sehingga 2024.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Bagaimanapun, terdapat tiga lagi individu yang turut ditahan semalam dilepaskan atas faktor kesihatan selepas diambil keterangan mereka.
“Jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan dengan dua penjamin terhadap mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE