SEBERANG PERAI – Pemandu Perodua Kelisa yang tular dikejar dua Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Bagan Dalam, Khamis lalu didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tertuduh, Mohd Fadzly Mohd. Zahari, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, pekerja kilang itu didakwa dengan sengaja menghalang Koperal Mohd Shamsuddin Zakaria daripada menjalankan tugasnya secara sah kira-kira pukul 10 malam di hadapan Flat Ampang Jajar, pada 19 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan tindakan tertuduh turut merisikokan keselamatan orang awam dengan memandu secara berbahaya termasuk melawan arus.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu agar denda minimum dikenakan kerana anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan.
Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis amphetamine seberat 0.99 gram di lokasi dan tarikh sama.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE