PETALING JAYA – Keprihatinan seorang anak menjaga ibunya terus ‘hidup’ biarpun jasadnya sudah tiada, menerusi peninggalan faedah pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pemberian itu hasil caruman Allahyarhamah Raja Nurfatimah Mawar Muhamad, 49, yang meninggal dunia pada 22 Jun lalu, kini menjadi bekalan buat ibu tercintanya, Katijah Muda, 69, dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pemergian Raja Nurfatimah itu merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah turut dirasai oleh industri media tanah air.
“Berbekalkan bakti Allahyarham menjangkau lebih tiga dekad dalam bidang ini, kehilangannya sudah tentu dirasai pelbagai pihak yang selama ini merasai jasa dan khidmatnya.
“Hasil keprihatinan majikan untuk mencarum, kita dapat tunaikan hasrat Allahyarham bagi menjaga ibu menerusi penyaluran faedah pencen penakat. Semoga sedikit sebanyak mampu membantu ibunya, mencukupkan mana yang tidak cukup, menambah mana-mana yang kurang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengarah Perkeso Terengganu, Suhara Mustaffa telah menyampaikan baucar Faedah Pengurusan Jenazah kepada keluarga menerusi program Ziarah Prihatin.
Selain itu, beliau turut menyerahkan bayaran pencen bulanan lebih RM1,300 kepada Katijah sebagai waris sah, yang akan mula disalurkan bulan depan dan berterusan seumur hidup.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, Perkeso sentiasa berpegang pada prinsip perlindungan sosial sejagat dan akan terus memastikan kebajikan pencarum terbela melalui pemberian faedah kepada yang layak.
Sebelum ini, Raja Nurfatimah disahkan meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang pada 22 Jun lalu kira-kira pukul 2 petang selepas mengadu sakit badan dan mengalami kesukaran bernafas.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Panjang, Kuala Terengganu kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Perkeso turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta solehah. – KOSMO! ONLINE