JOHOR BAHRU – Operasi memadam kebakaran di Kawasan Perindustrian Kota Puteri berhampiran Taman Megah Ria, di sini yang bermula sejak Sabtu lalu telah ditamatkan sepenuhnya selepas tiga hari.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba I, Zaipulbahri Mat Rusok berkata, operasi itu dihentikan pada pukul 2.35 petang, semalam.
Katanya, seramai 37 pegawai dan anggota bomba termasuk daripada pelbagai agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut terlibat.
“Sepanjang operasi tersebut dibuat, seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian kaki kirinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zaipulbahri, tompokan asap-asap kecil masih muncul dia beberapa kawasan sekitar lokasi kebakaran pada pukul 7.30 pagi.
“Sehubungan itu, kerja-kerja pemadaman masih terus dijalankan termasuklah menggunakan ‘excavator’ untuk membantu kerja-kerja pemadaman sehingga selesai.
“Balai bomba terlibat adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang; BBP Johor Jaya, BBP Tebrau, BBP Kota Tinggi, BBP Larkin selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dan PBS Ulu Tiram.
Sabtu lalu, kawasan perindustrian melibatkan lima premis kilang seluas kira-kira 1,000 meter persegi terbakar sehingga menyebabkan kepulan api dan asap setinggi 100 meter kelihatan di udara. – KOSMO! ONLINE