JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan berputih mata selepas menanggung kerugian sebanyak RM1.1 juta akibat terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 40-an itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian, kelmarin.
Menurut beliau, mangsa memaklumkan mendapat tahu tentang tawaran pekerjaan itu menerusi platform media sosial pada 26 Mac lalu.
“Mangsa dimaklumkan akan memperoleh komisen sebanyak 25 peratus bagi setiap barangan yang berjaya dijual.
“Akibat tertarik, mangsa membuat transaksi kewangan ke 22 akaun bank berbeza antara 28 Mac hingga 13 Jun berjumlah keseluruhan RM1.1 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, mangsa hanya menyedari telah menjadi sasaran ‘scammer’ apabila wang komisen dijanjikan masih tidak diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE