LONDON – Bekas pemain Manchester United, Paul Pogba bakal membuat kemunculan semula selepas hampir 18 bulan digantung susulan kes doping dan dilaporkan bersetuju menyertai kelab Ligue 1, AS Monaco walaupun turut menerima minat daripada kelab Arab Saudi.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu kini ejen bebas selepas menamatkan kontraknya bersama Juventus tahun lalu dan menolak tawaran lumayan daripada kelab Liga Arab Saudi demi membuktikan dirinya masih relevan di peringkat tertinggi bola sepak Eropah.
Menurut wartawan Santi Aouna, Pogba dan Monaco telah mencapai persetujuan kewangan, dengan kontrak sehingga 2027.
Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano turut mengesahkan perkara itu dan menyatakan urusan terakhir sedang dimuktamadkan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Butiran akhir sedang disusun kemudian kesepakatan dilakukan untuk pemain tengah Perancis kembali beraksi selepas penggantungan yang lama. Kontrak dua tahun siap,” katanya.
Pogba yang dikenakan penggantungan pada Februari tahun lalu selepas gagal ujian doping, berjaya mengurangkan hukuman empat tahunnya itu kepada 18 bulan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pogba sebelum ini menolak ‘perjanjian besar’ dari kelab Arab Saudi, khususnya untuk bersama skuad kendalian Adi Hutter di Monaco dan bakal bersaing dengan Denis Zakaria, Lamine Camara dan Soungoutou Magassa untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Kepulangan Pogba ke padang menjadi perhatian peminat selepas berehat panjang sama ada dia masih lagi memiliki sentuhan terbaik dan mampu memberi impak dalam dunia bola sepak profesional. – AGENSI