JOHOR BAHRU – Kerja pembersihan dan pemasangan perangkap minyak giat dilakukan di parit dan longkang-longkang sekitar lokasi kebakaran di Kawasan Perindustrian Kota Puteri berhampiran Taman Megah Ria, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, inisiatif itu dibuat bagi memastikan tidak berlaku pencemaran minyak di sungai-sungai sekitar.
Katanya, beberapa set ‘oil lock boom’ telah dipasang di kawasan strategik bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku.
“Seperti kita maklum, kebakaran dua hari lalu ini turut melibatkan tumpahan minyak kerana salah satu premis terlibat membuat kerja-kerja memproses minyak sawit.
“Sehubungan itu, pemilik premis telah diarah melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan lokasi, manakala pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan parit dan longkang sekitar.
“Buat masa ini, hanya lapisan minyak biasa dikesan memasuki saliran air, tetapi bukan minyak pemprosesan yang hitam dan kotor. Kami yakin tiada pencemaran air berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.
Kelmarin, kawasan perindustrian melibatkan lima premis kilang seluas kira-kira 1,000 meter persegi terbakar sehingga menyebabkan kepulan api dan asap setinggi 100 meter kelihatan di udara. – KOSMO! ONLINE