PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menjelaskan beliau tidak pernah terbabit dalam mana-mana parti politik sepanjang 38 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, beliau menerima dengan hati yang terbuka melibatkan insiden salah lapor mengenai dirinya yang dipaparkan dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
“Insya-Allah pihak akhbar yang berkenaan juga telah memohon untuk bertemu dengan saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat ini.
“Saya memohon kepada semua yang hadir termasuk wartawan yang ada pada hari ini supaya memberikan laporan yang terbaik dan sempurna serta tidak lari daripada apa yang sepatutnya dilaporkan.
“Saya berharap hubungan yang rapat dan akrab perlu diteruskan antara polis bersama-sama dengan wartawan semua kerana ia menjadi pokok utama untuk kita memberikan laporan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Katanya, pihaknya juga akan berbincang, mendengar pandangan dan memberi apa yang perlu laksanakan pada masa akan datang bagi mengelak isu sama berulang.
Jelasnya lagi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh juga telah menjelaskan segala-galanya selain mengesahkan dirinya tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam PKR. – KOSMO! ONLINE