KUALA LUMPUR – Kebanyakan orang kampung yang datang mencari rezeki di ibu kota biasanya tidak tahu kehidupan di ibu kota lebih mencabar dan biasanya mereka yang gagal akan
tidur di bawah jambatan dan kaki lima kerana kos sara hidup tinggi.
Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan berkata, mereka menyangka Kuala Lumpur ialah tempat mudah mencari duit.
Dia yang dikenali sebagai Abbe Hae berkata, tidak semua yang berhijrah akan berakhir dengan kisah kejayaan.
“Asalnya mahu ubah nasib keluarga tetapi berakhir dengan jadi gelandangan. Mereka bukan malas bekerja tetapi terperangkap dalam kitaran kemiskinan, tidak cukup maklumat dan tiada rangkaian sokongan di bandar.
“Ada yang sanggup menumpang tidur di masjid, belakang bangunan atau mana-mana tempat berteduh. Bila kami tanya kenapa tak balik kampung, mereka jawab malu. Ada juga yang
trauma,” katanya.
Menurut Abbe Hae, ada bekas gelandangan yang serik datang ke Kuala Lumpur kerana serik hidup di jalanan.
Tambahnya, terdapat seorang pemuda dari Kedah yang datang dengan bekalan RM800 selepas terpesona dengan kehidupan di Kuala Lumpur di televisyen.
“Dia akhirnya bukan sahaja tidak dapat kerja, malah disamun. Dia trauma apabila harapan untuk ubah nasib keluarga bertukar menjadi pengalaman perit,” katanya.
Ujar Abbe Hae, pemuda itu enggan kembali ke Kuala Lumpur kerana kehidupan di sini sangat mencabar.
Sehubungan itu, dia meminta pihak berkuasa memperluas program pemulihan sosial, menyediakan pusat transit yang lebih banyak dan memperkukuhkan sistem pengesanan awal bagi
mereka yang berisiko menjadi gelandangan.














