JAKARTA – Seorang pengantin lelaki di Indonesia mengundang perhatian ramai apabila didakwa berkahwin dengan dua wanita serentak, lapor portal berita NTV News semalam.
Majlis perkahwinan itu berlangsung di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
Rakaman video yang dimuat naik di platform Facebook menunjukkan seorang lelaki memakai baju pengantin sambil diapit dua wanita yang mengenakan warna baju berwarna sedondon.
Mereka bukan sahaja bersolek, malah memakai barangan kemas daripada kepala hingga kaki.
Rakaman itu mencatatkan lebih 25,200 tontonan dan menimbulkan tanda tanya ramai pengguna media sosial.
“Hebat betul lelaki itu,” kata seorang netizen.
Seorang pengguna media sosial kemudian tampil menjelaskan bahawa salah seorang wanita berkenaan sebenarnya merupakan ahli keluarga pengantin lelaki. – AGENSI