PARIT – Tiada sebab bagi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk mengundur diri ataupun memainkan peranan lain seperti penasihat bagi parti tersebut.
Bahkan, menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, isu kesihatan Abdul Hadi yang menyaksikan beliau menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) juga bukanlah perkara besar sehingga memerlukannya diganti orang lain.
“Tiada isu mengenai kesihatan Abdul Hadi walaupun ada pandangan mengenai kewajaran menggantikannya atas faktor kesihatan.
“Bukan sahaja Pas tetapi dunia Islam masih memerlukan pandangan, idea dan kepimpinan Abdul Hadi.
“Pencapaian paling cemerlang di bawah kepimpinan Abdul Hadi termasuk menang 34 kerusi di Parlimen selain mentadbir beberapa negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Parit di Seri Iskandar, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, mereka menjangkakan Abdul Hadi akan keluar dari IJN dalam tempoh dua hari lagi.
Abdul Hadi sebelum ini dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan Presiden Pas atas faktor kesihatan, yang mana difahamkan Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat berkenaan kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti, baru-baru ini di Terengganu. – KOSMO! ONLINE